Jumat, 20 Desember 2013

Orang Kg Hishamuddin Rais Mangsa ‘Hamba’ London


Khamis lalu, Polis London mengesahkan tiga wanita telah diselamatkan setelah dijadikan hamba kira-kira 30 tahun di sebuah flat di selatan London.

Kes yang dianggap kes perhambaan terburuk ditemui di Britain pada era moden ini melibatkan seorang wanita British berusia 30 tahun, warga Ireland berusia 57 tahun dan warga Malaysia, 69.

Kesemua mangsa dikatakan berada dalam keadaan trauma dan kini di bawah bimbingan pakar.

Kisah perhambaan ini terbongkar selepas polis tempatan unit penyeludupan manusia menahan seorang lelaki dan wanita, kedua-dunya berusia 67 tahun di rumah mereka di Lambeth, Khamis lalu.

Mereka dikenalpasti sebagai Aravindan dan Chanda Balakrishnan, aktivis komunis yang aktif sekitar tahun 70an.

Segala-galanya bermula selepas salah seorang mangsa iaitu warga Ireland membuat panggilan telefon untuk meminta pertolongan selepas menonton sebuah dokumentari televisyen tentang sebuah organisasi digelar Freedom Charity.

Tangkapan itu dibuat setelah menerima aduan seterusnya melalui proses penyiasatan rahsia dan pengumpulan bukti.

Dalam pada itu, aktivis Hishamuddin Rais menerusi portal themalaysianinsider.com hari ini membuat telahan, wanita Malaysia yang menjadi mangsa dalam kes ini berkemungkinan Siti Aishah Abdul Wahab, yang hilang di London sekitar 70an.

Hishamuddin berkata, Aishah pernah menyertai kumpulan pelajar Malaysia di London yang dipanggil “New Malayan Youth” pada waktu itu sebelum menyertai gerakan Marxist-Leninist yang turut dianggotai Aravindan yang juga dikenali sebagai Comrade Bala dan “Chairman Ara”.

Memandangkan dia dan Aishah datang dari daerah sama iaitu Jelebu, Negeri Sembilan, abang Aishah dlaporkan pernah meminta pertolongan Hishamuddin bagi mencari adiknya itu di London pada 1991 tetapi usaha mereka menemui jalan buntu.

Apa pun, tidak kira walau siapa warga Malaysia yang telah diselamatkan itu, ia sudah pasti khabar gembira buat keluarganya setelah sekian lama terpisah. – REM RAMZI

Flat di Selatan London di mana tiga wanita termasuk warga Malaysia yang dijadikan hamba selama 30 tahun ditemui:


Tidak ada komentar:

Posting Komentar