Lama dah tak mendengar cerita pasal Radhi OAG. Lebaran kali ini dia terpaksa beraya di rumah pengasih kerana masih dalam proses pemulihan terhadap dirinya akibat dari ketagihan dadah.Ikuti kisah Radhi dan pengalamannya di rumah pengasih.
KUALA LUMPUR: “Lebaran kali ini terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu. Ia bakal menjadi lebaran paling sempurna buat saya selepas sekian lama saya mengambil barang itu (dadah),” kata Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi, 34, vokalis kumpulan OAG ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, semalam.sumber
Radhi yang memasuki pusat itu sejak 11 Januari lalu kini sedang menjalani proses pemulihan bagi membuang ketagihannya terhadap dadah yang diambil selama kira-kira 10 tahun selain mahu mendalami ilmu agama.
Menurut Radhi, hari raya Aidilfitri tahun ini bakal memberi seribu makna kepadanya kerana dia kini lebih menghayati erti Ramadan selepas berjaya melengkapkan ibadah puasa serta solat sunat Tarawih berbanding sebelum ini dan tumpuannya hanya kepada menyambut perayaan Aidilfitri.
Radhi bagaimanapun tidak menafikan masih wujud kesukaran untuknya meninggalkan najis itu secara 100 peratus pada peringkat awal namun keberkatan solat fardu yang ditunaikan mampu menghindari dirinya daripada terjebak semula.
“Selepas bertahun-tahun, saya kini benar-benar menemui jalan yang sepatutnya saya pilih dari dulu lagi dan di sinilah tempatnya. Memang dulu saya pernah cuba berubah, tapi gagal kerana saya tidak begitu kuat apatah lagi tiada sokongan jemaah (masyarakat) seperti sekarang.
“Saya bercadang meraikan hari raya pertama di sini (Rumah Pengasih) bersama penghuni lain. Ibu dan anak saya mungkin akan,” katanya.
Mengimbau kenangan lampau ketika masih dipengaruhi dadah suatu ketika dulu, Radhi berkata, najis itu sebenarnya banyak mencetuskan perkara negatif dalam hidupnya termasuk pergolakan rumah tangga yang dibina selama lebih lima tahun.
Malah, menurut Radhi, setiap kali menjelang raya, hanya jasadnya yang berada bersama keluarga namun pemikirannya lebih ke arah khayalan disebabkan pengaruh dadah.
“Saya memang selalu memikirkan apa akan berlaku pada saya jika saya ditangkap kerana dadah. Ia memang sering terlintas di fikiran saya namun saya masih tidak mampu berhenti kerana terlalu mengikutkan nafsu dan pengaruh kawan yang turut sama menagih.
“Disebabkan itu, sekarang saya tak nak lagi ada kereta atau rumah yang pernah memberi kemudahan kepada saya untuk memperoleh dan menghisap dadah. Paling penting, saya kini sudah berjaya berhenti menghisap rokok pada 20 Mei lalu sempena hari lahir keenam anak saya, Muhammad Rifdhi Muslim.
“Sekarang ini, saya lebih mengabdikan diri saya kepada Allah bersama kawan lain di rumah ini (Pengasih) supaya kehidupan saya kelak lebih sempurna demi Rifdhi,” katanya.
Radhi berharap pemulihannya pada kali ini akan menemui kejayaan di samping mengharapkan penghijrahan itu mampu menyedarkan rakan sealiran yang turut mengambil barang terlarang berkenaan.
Di samping menjalani proses pemulihan, Radhi juga berjaya menyiapkan beberapa lagu untuk album terbarunya dan sekiranya pemulihannya berjalan lancar, dia akan kembali memulakan karier seninya pada awal tahun depan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar